ssshhhhh... this is our secret ok!
Betulkah dinda ini seorang yang pemalu? dinda malu pada diri sendiri? jika benar, adakah ia suatu kesalahan? atau, kekurangan yang perlu dinda atasi? help me if it is true...
actually, mengikut wikipedia.org, Malu adalah satu perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri.
Setiap orang yang normal mempunyai perasaan malu. Tetapi setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai malu. Sehubungan itu, pendapat mengenai apa yang dimaksudkan malu, apa yang mendatangkan malu serta tindakan yang harus untuk mengatasi perasaan malu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ini adalah kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya terkandung satu sistem nilai dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu.
Malu dalam masyarakat Melayu mempunyai 3 lapis pengertian, iaitu:
- Malu Sebagai Perasaan
- Malu Sebagai Tanda Harga Diri
- Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial
Malu Sebagai Perasaan
Malu sebagai perasaan merujuk kepada istilah “rasa malu”. Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara ini termausklah, “berasa aib”, “rasa segan” dan juga “segan silu”. Orang yang menunjukkan perasaan malu, akan diperikan sebagai “malu-malu” dan “takut-takut”.
Secara umumnya, malu merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak sertimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Individu yang mengalami perasaan begini selalunya menganggap dirinya lebih kecil dan hina daripada orang lain yang dianggapnya mempunyai serba kelebihan pula.
Malu merupakan sesuatu yang berpunca. Berdasarkan puncanya malu boleh dibahagikan kepada tiga jenis seperti di bawah:
- malu-malu bahasa
- segan
- aib
Malu-malu bahasa merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perasaan hormat. Perasaan malu-malu bahasa timbul apabila seseorang itu berhadapan dengan orang yang dihormati. Perasaan malu ini agak sederhana dan tidak sampai boleh menyakiti hati seseorang.
Segan merujuk kepada perasaan malu yang timbul daripada perbuatan janggal. Perasaan segan timbul, apabila seseorang tidak biasa melakukan perkerjaan tertentu sehingga timbul keadaan yang janggal. Biasanya ia timbul apabila seseorang “baru” dalam pekerjaan tertentu. Misalnya seseorang akan berasa segan untuk bertutur kepada orang yang tidak dikenali, lebih-lebih lagi jika beliau jarang untuk berbuat demikian. Perasaan segan walaupun tidak menyenangkan hati seseorang tetapi tidaklah ia sampai menyakiti hati.
Aib merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perbuatan yang jahat. Perasaan aib merupakan malu yang kuat. Biasanya ia timbul apabila seseorang menyedari dirinya telah melakukan dosa dan perbuatannya itu telah terbongkar dan diketahui umum. Perasaan aib ini sangat berkait dengan penghinaan. Orang yang berasa aib mungkin akan melakukan tindakan yang estrim seperti membunuh diri.
Malu Sebagai Tanda Harga Diri
Dari segi kehidupan bermasyarakat, perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga diri dan air mukanya seseorang. Orang yang beroleh malu bermaksud bahawa maruah, harga diri dan air mukanya telah tercemar. Dalam keadaan ini, kedudukan sosialnya telah terjejas dan menjadi rendah. Ketercemaran ini berpunca daripda perlakuannya sendiri dan juga oleh tekanan sosial.
Malu dianggap sebagai tanda harga diri kerana dikatakan seseorang itu dapat merasai maruah dan harga dirinya apabila beliau mempunyai perasaan malu. Sehubungan itu, malu merupakan sesuatu yang sihat bagi orang yang bermaruah kerana perasaan ini sebenarnya dapat mendorong seseorang untuk menjaga maruah dan harga diri.
Bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan malu, mereka lazimnya dianggap orang yang tidak tahu harga diri. Pemerian untuk mereka ini ialah “Tidak tahu malu” dan “muka tebal”. Orang yang tidak tahu malu biasanya merupakan kejian orang ramai dalam masyarakat Melayu.
Perasaan malu sebagaimana yang dikaitkan dengan maruah, dan harga diri amat penting dipupuk kepada anggota-anggota masyarakat. Dengan memberi kesedaran mengenai perasaan malu yang ada pada diri seseorang itu boleh menjadi penghalang atau benteng yang penting bagi anggota masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang dianggap menyeleweng. Daripada itu malu boleh dikaitkan dengan fungsi kawalan sosial seperti apa yang akan dibincangkan di bawah.
Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial
Masyarakat Melayu menyedari bahawa malu merupakan satu fungsi kawalan sosial dengan adanya perpatah yang berbunyi:
"Kerana malu tahu menilai batas"
Malu merupakan satu perasaan negatif yang timbul daripada kesedaran diri seseorang mengenai perlakuan yang tidak senonoh. Daripada itu, seseorang akan mengelakan diri daripada perlakuan yang buruk bagi mengelakkan diri daripada beroleh malu. Dari segi ini, malu sememangnya boleh mengawal tingkah laku seseorang dan dengan itu memainkan fungsi kawalan sosial.
Masyarakat Melayu yang hidup secara berkeluarga juga menguatkan lagi fungsi malu sebagai kawalan sosial. Dalam masyarakat Melayu seseorang itu bukan sahaja akan menanggung malu daripada perbuatannya sendiri malah akan menanggung malu daripada perbuatan ahli keluarganya. Ini adalah kerana keluaraga Melayu yang mempunyai perasaan kekitaan terhadap keluarganya sendiri dan juga kerana masyarakat Melayu menganggap bahawa seseorang itu terikat kepada keluarganya. Misalnya, seorang anak akan menyebabkan ibu bapa mereka malu sekiranya ia telah melakukan sesuatu yang jahat seperti mencuri. Dalam peribahasa Melayu, tindakan anak ini diperikan sebagai “menconteng arang di muka ibu bapa”.
Bagi mengelakkan diri mereka menanggung malu seseorang itu akan cuba mengawal ahli keluarga mereka supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk. Di sini, sekali lagi kita boleh lihat bahawa malu telah memainkan satu fungsi kawalan sosial.
Kesedaran mengenai malu sebagai fungsi kawalan sosial juga boleh dilihat dari segi manipulasi konsep malu dalam puisi Melayu lama. Di sini, konsep malu telah digunakan untuk menasihati orang ramai supaya berkelakuan baik. Contohnya[1]:
Buah ganja makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Barang Kerja hendak difikir
Supaya Jangan mendapat malu
Dan satu lagi contoh[2]:
Tingkah laku tidak kelulu
Perkataan kasar keluar selalu
Tidak memikirkan aib dan malu
Bencilah orang hilir dan hulu
Puisi-puisi Melayu Lama di atas telah menasihatkan orang ramai supaya mengingatkan perasaan malu supaya mereka berkelakuan baik. Di sini kita boleh lihat bahawa adanya satu kesedaran mengenai malu sebagai satu fungsi kawalan sosial dalam masyarakat Melayu.
Kesimpulannya,
Malu satu emosi yang negatif bagi orang keseorangan. Tetapi ia merupakan aspek yang positif dalam kehidupan bermasyarakat, kerana perasaan malu dapat mengawal orang keseorangan supaya tidak menyeleweng daripada norma masyarakat dan sekaligus dapat membentuk satu suasana sosial yang lebih harmoni. Oleh itu sikap “tahu malu” seharusnya dipupuk dalam masyarakat kita.
Wallahualam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan